MENCARI TEMAN SEJATI…..
Mencari teman sejati.
Semua
orang mencari teman sejati. Teman yang memahami dan dapat berkongsi segala
susah, senang, suka dan duka.Teman yang segala-galanya baik dan sempurna untuk
didampingi. Mereka tidak akan bersama teman yang nanti boleh mengkhianatinya,
membongkar rahsia-rahsianya atau lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Dengan kata lain, manusia samada baik atau buruk perbuatannya pada perspektif
umum, akan tetap memilih untuk bersama orang-orang yang baik pada pandangannya.
Siapakah Teman Sejati?
Kita
sering mencari teman yang bukan sekadar dapat berkongsi sesuatu malah dapat
menyelaminya jauh ke dasar makna. Bukan sekadar dapat bersimpati terhadap
musibah malah memiliki empati yang sangat halus meresap jiwa. Jauh sekali jika
berteman tatkala senang, berenggang tatkala susah.
Siapakah
agaknya teman sejati? Orang yang bergelar kawan@ sahabat? Dan lebih suka dengan
penggunaan istilah SAHABAT. Paling tepat untuk teman sejatai. Sahabat memiliki
makna yang cukup dalam dan penuh rahsia. Padanya ada jawapan bagi sebuah
keakraban. Mereka yang mendampingi Nabi s.a.w pun digelar sahabat. Ini member
maksud yang cukup istimewa dan rapat. Rapat tidak semestinya bergandingan
tangan apabila berjalan, namun perhubungan hati yang berbenih ketelusan dan
kasih sayang.
Kata
orang pula, kawan dan sahabat tak sama. Betul ke? Kawan, di mana2 pun boleh
dapat, asalkan boleh bertegur sapa. Kadang-kadang, hanya bertemu di bus-stop
sampuk-menyampuk tentang bus yang lambat datang pun dah boleh jadi kawan yang
dapat duduk sebangku di warung kopi. Tapi, bila kita susah, kawan rapat
bersentuh bahu pun tak tegur. Kita bagaikan orang asing untuk disapa. Lebih
jauh lagi, mereka mengelakkan diri dan tak kurang pula yang menambahkan lagi
beban di hati. Maka dapatlah jawapan, Oh….rupanya kawan hanyalah teman untuk ketawa
bagi mengisi ruang kosong!!!
Kenapa Perlukan Teman Sejati?
Hidup
ini tentu sekali membosankan jika tiada teman di sisi. Apatah lagi tanpa teman
sejati atau sahabat yang akrab. Teringat pula kisah Nabi Adam a.s semasa di
syurga. Keseorangan …dan hidup sunyi walaupun di kelilingi pelbagai kenikmatan
di syurgawi. Melihat burung berpasangan, timbullah pula rasa ingin berteman.
Padanya lahirnya perasaan rindu. Rindu sebagai satu dorongan yang kuat untuk
mendapat seorang teman. Padanya juga lahir perasaan cinta. Cinta yang
menzahirkan perasaan yang suci dari lubuk hati. Lantas Allah Maha
Mengetahui..Dia telah menciptakan teman bagi Adam a.s dari tulang rusuk
kirinya. Tulang yang paling hampir dengan hati (sanubari), tempat terbitnya
segala perasaan. Lantas, terciptalah Hawa, wanita sempurna yang memenuhi segala
impian Adam a.s. Terubatlah kesunyiannya dan lahirlah keturunannya. Kitalah
keturunannya, generasi yang bernama manusia!!!
Bagaimanapun,
apa yang ingin disampaikan di sini adalah lahirnya teman sejati itu adalah dari
ketulusan hatinya sendiri. Sejauh mana kesucian dan ketinggian peribadinya,
maka terbitlah teman itu dari pekertinya.
Mencari Teman Sejati?
Bayangkan
tatkala kita dalam kesusahan. Paling mudah, kita dalam konflik permasalahan.
Tertekan dengan banyak perkara dan memerlukan seseorang di sisi. Siapakah orang
pertama yang terbayang di mata kita? Orang yang tatkala mengingatinya saja
sudah memberikan kekuatan dan kedamaian
pada hati. Orang yang kita anggap paling memahami dan paling dipercayai.
Sekurang-kurangnya dapat member sokongan bagi mengatasi kebuntuan
diri..Siapakah dia??
Mengapa Sukarnya Mencarinya?
“Alangkah
susahnya mendapat kawan..” (Dunia Yang Sepi- Hijjaz). Sebenarnya, kita tidak
akan menemui teman sejati selagi mana kita tidak pernah menjadi seorang teman
yang sejati kepada sesiapapun yang pernah berdampingan dengan kita. Orang lain
juga sama seperti kita, mencari teman sejati. Jadi, mereka juga memilih dan
berhati-hati. Jadilah teman sejati untuk orang lain , nanti kita akan mendapat
teman sejati untuk diri sendiri. Jangan berangan untuk memperolehi teman yang
baik jika kita tidak pernah menjadi teman yang baik untuk sesiapa pun. Sifirnya
mudah, kita tidak akan dihormati jika kita tak tahu menghormati orang lain.
Kita akan mendapat hasil dari benih yang kita tanam.
Bagaimana Mengenali Teman Sejati?
Diangkatnya
sekumpulan ummah yang terdahulu sebagai sahabat di sisi baginda Rasulullah SAW
adalah sebagai satu penghargaan dari ketulusan rohani dan semangat mereka yang
telah sanggup berkorban jiwa dan raganya untuk Allah dan Rasul. Ungkapan
“SAHABAT” itu telah menjadi sebegitu besar adalah sejajar dengan peranannya
yang bukan sekadar pendamping dengan keriuhan dari keriangan hidup semata-mata
malah ianya membawa satu makna sebagai kesanggupan untuk berkongsi kegetiran
bersama malah berkorban demi satu jalinan persahabatan yang benar di sisi
Tuhan.
Manakala
apabila kita ingin mengungkapkan makna persahabatan pada seseorang manusia
tentu sekali tidak semudah sebutannya malah apabila difikirkan untuk
melaksanakannya,ia boleh menjadi begitu rumit pula kerana padanya ada satu
amanah yang perlu ditunaikan. Amanah itulah pula yang akan dapat memberikan
kebahagiaan abadi jika benar-benar dilaksanakan. Lantas termasuklah mereka
dalam kumpulan orang yang dijamin
mendapat naungan ‘Arasy di mahsyar kelak kerana mereka adalah orang yang
berkasih-kasihan kerana Allah dan berpisah kerana Allah. Tidak ada pada mereka
melainkan nasihat-menasihati demi kebaikan
dunia dan akhirat dengan amar ma’ruf wanahi munkar
Jawapan Bagi Teman Sejati.
Teman
sejati adalah insan yang lahir daripada diri sendiri. Mereka adalah orang yang
berada di sekeliling kita. Tidak terbatas oleh jantina atau usia bahkan mereka
tidak semestinya sama seperti kita. Mereka mungkin dari kalangan rakan sebaya
atau guru, atau juga ibu, ayah, abang, kakak, adik, isteri/suami atau bagi para
waliyullah teman sejatinya adalah Tuhan.
Paling
penting, mereka ada pada rahsia hati. Tatkala bersama, ia bagaikan satu jaminan
untuk kebahagiaan hidup dunia dan
akhirat. Kenapa tidak, jika wujudnya bagaikan cahaya yang sentiasa memberi
sinar dalam merentasi kehidupan yang penuh onak dan duri. Nafasnya adalah
syariat yang sentiasa bersandarkan kepada Allah dan Rasul. Padanya ada cermin
yang dapat memperbetulkan kepincangan diri. Tetap berdiri di atas kebenaran
hakiki demi sebuah jalinan diredhai Ilahi. Teman yang sentiasa dapat
mengingatkan kita kepada Allah. Teman yang sentiasa mendoakan kebaikan dan
kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Teman yang tidak menjalinkan hubungan dengan kita atas sesuatu sebab atau
demi kepentingan tertentu melainkan semata-mata KERANA ALLAH…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan